suria

Adun Gunung Semanggol Tidak Sedarkan Diri

Keadaan Mohd Zawawi yang tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

BAGAN SERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Hassan tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum dihantar ke Hospital Taiping, pagi Selasa.

Difahamkan, Mohd Zawawi tidak sedarkan diri setelah terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Tebuk Panchur, di sini lebih kurang jam 10 pagi.

Adun Selinsing, Husin Din berkata, kejadian Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Bagan Serai terjatuh di dalam bilik air hanya disedari isterinya yang kebetulan pulang sebentar ke rumah dari tempat kerja di Madrasah Ehya As-Sharif, Gunung Semanggol.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah darah tinggi yang dihidapi Mohd Zawawi.

"Sejurus isterinya menyedari keadaan Mohd Zawawi, beliau segera dikejarkan ke Hospital Taiping sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh pukul 3 petang tadi.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati beliau disyaki mengalami pendarahan di kepala,"katanya kepada media, Selasa.

Husin berkata, Mohd Zawawi yang juga Setiausaha Pas Perak difahamkan agak sibuk dalam memenuhi undangan program parti dan tinjauan turun padang sebagai wakil rakyat sejak seminggu lalu.

"Sehingga kini, saya dimaklumkan beliau masih belum sedarkan diri.

"Doktor membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya.

Husin turut meminta semua pihak mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Mohd Zawawi di samping berharap agar penyakit dialami tidak serius.

"Saya juga berharap jangan ada sebarang spekulasi mengenai keadaan kesihatan beliau sementara menunggu doktor mengesahkan penyakit dihidapi," katanya. - Sinar Online 

Mohd Zawawi Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain