suria

Mangsa Culik 13 Jam Ditemui

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang wanita yang diculik sekumpulan lelaki di hadapan sebuah kilang di Kampung Jawa, Klang dekat sini, ditemui orang ramai selepas 13 jam, di Seksyen 35 pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, mangsa S. Jothimani, 48, ditemui 10.30 malam tadi dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Orang ramai yang kebetulan berada di kawasan perkilangan Seksyen 35 malam tadi terdengar jeritan Jothimani, mangsa  kemudian terus dihantar ke sebuah hospital swasta di Klang," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Kata Shafien berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa tidak mengenali semua suspek dan semasa berada di dalam kereta, mangsa telah dipukul manakala matanya ditutup.

"Mangsa turut memberitahu telefon bimbit dan barangan kemas beliau turut diambil oleh suspek," katanya.

Tambah Shafien polis kini giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi semalam, Jothimani diculik tiga suspek selepas keluar untuk berjumpa seorang lelaki di hadapan kilang tempat dia bekerja.

Rakaman kamera litar tertutup kilang itu menunjukkan mangsa ditolak ke dalam kereta jenis Mercedes Benz oleh lelaki berkenaan.- Bernama

Mangsa Culik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain