suria

Isu Kenaikan Harga Minyak Dibincang Esok

BAGAN DATUK: Kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme yang sesuai dalam menangani isu kenaikan harga petrol dan diesel sehingga membebankan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam memastikan masalah tersebut ditangani, satu mesyuarat akan diadakan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Isnin.

"Sebarang keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut akan diumumkan sendiri oleh perdana menteri esok," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia, di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, Ahad.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga runcit mingguan bagi petrol RON95 meningkat 7 sen, menjadi RM2.38 seliter dari RM2.31.

Kenaikan itu mencatatkan paras tertinggi sejak mekanisme penetapan harga mingguan diperkenal dan mencatat paras tertinggi untuk dua minggu berturut-turut.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengakui bahawa ketika ini berlaku trend kenaikan harga bahan api ekoran berlakunya peningkatan harga minyak di pasaran dunia.

"Tetapi kita juga ketika ini sedang mengkaji mekanisme menangani masalah ini dan apa sahaja keputusan akan diumumkan perdana menteri," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menaikkan jumlah subsidi minyak bagi mengurangkan harganya, Ahmad Zahid berkata, semua cadangan itu akan diperhalusi oleh kerajaan.

"Kita akan kaji semua cadangan yang ada," katanya. - Sinar Online

harga minyak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain