suria

Jabatan Imigresen Pastikan Suspek Bunuh Tidak Bolos

Sharat a/l Eh Wang@Pot, suspek utama kes bunuh tiga beranak di Wakaf Mek Zainab.

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen memperketatkan pemeriksaan di pintu sempadan negara ini bagi membantu polis menyekat suspek dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di sini, Rabu lepas, bolos ke luar negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya sudah mendapatkan maklumat terperinci berkaitan suspek yang kini sedang dijejaki polis bagi membantu sisatan kes pembunuhan kejam itu.

"Kes seumpama ini (pembunuhan) sudah tentu kita memperketatkan kawalan di pintu keluar masuk sempadan negara supaya penjenayah tidak boleh bebas dan lolos daripada ditahan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah Imigresen 2017 di sini, Sabtu.

Mustafar berkata Jabatan Imigresen sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain dalam menangani kes jenayah.

Dalam kejadian Rabu lepas, mangsa Kha Eng Ni, 42, isterinya, Chua Joo Seok, 43, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, dibunuh di sebuah rumah yang dijadikan stor barangan perkakas rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini.

Polis kini sedang mencari seorang lelaki yang bekerja dengan mangsa dikenali sebagai Sharat a/l Eh Wang@Pot, 31, bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Sementara itu, Mustafar turut melancarkan Skuad Bah jabatan tersebut di negeri ini sebagai persiapan pihaknya menghadapi musim tengkujuh yang berkemungkinan berlaku banjir.

"Skuad proaktif ini diwujudkan bagi menangani bencana banjir serta menjaga kebajikan pegawai dan anggota jabatan ini,” katanya.

Sebanyak 45 pasukan daripada jabatan tersebut seluruh negara menyertai kejohanan futsal itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahid Pula Lawat Anwar

Artikel Berikut

Artikel Lain