suria

Jiwa Patriotik #AnakAnakMalaysia Walk

SHAH ALAM: Kemeriahan acara #AnakAnakMalaysia Walk (AAMW) tahun ini diwarnai dengan kehadiran peserta yang berpakaian kreatif dan berjiwa patriotik demi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 yang tinggal beberapa hari lagi.

Ternyata mereka menarik perhatian ramai apabila peserta AAMW tidak melepaskan peluang merakamkan memori bersama insan istimewa yang meletakkan negara di tahap tertinggi dan mengetepikan perbezaan sesama rakyat.

Seorang peserta, Lee Chi Kua yang berasal dari Banting adalah antara yang mencuri tumpuan  apabila hadir berbasikal dengan topi unik menjunjung durian turut berarak bersama peserta lain.

"Saya pilih durian kerana ia adalah identiti negara kita dan merupakan raja segala buah.

"Saya nak nampak humor dalam aktiviti kita, tambah jenaka dalam hayat ini supaya hidup lebih bahagia," katanya yang bertolak seawal pukul 5.30 pagi untuk mengikuti program yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di sini pada pagi Ahad.

Sementara itu, seorang lagi peserta warga emas, Jenny Lee, 62, mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan pakaian istimewa sempena sambutan kemerdekaan ke-60.

"Saya sudah lama tunggu detik ini dan siapkan baju ini seorang diri di dalam bilik tanpa menunjukkan kepada sesiapa.

"Ia terlalu peribadi dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada Malaysia di atas keharmonian yang dikecapi selama ini," ujarnya ketika ditemui mStar Online.

Lebih 5,000 hadir pada acara yang berlangsung pada pukul 7.30 pagi itu terbuka untuk dua kategori iaitu sejauh 2.1 kilometer (km) dan 5km.

Turut hadir Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadirian beberapa selebriti tanah air seperti pereka kasut terkenal, Datuk Jimmy Choo; legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh; pelakon Maya Karin, Thanuja Ananthan serta model terkemuka, Amber Chia.

Sultan Sharafuddin turut mengambil bahagian dalam kategori 2.1 km bersama Azmin dan tetamu kehormat lain termasuk Pengerusi Pembangunan Kumpulan Eco World, Tan Sri Liew Kee Sin.

#AnakAnakMalaysia Walk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain