suria

Bom: Lelaki Dakwa Bekas Kekasih Jururawat Ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan bom buatan sendiri yang dipasang pada kereta seorang jururawat di Kapar, Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki yang mendakwa sebagai bekas kekasih jururawat terbabit ditahan pada kira-kira pukul 3.30 pagi Isnin di Taman Petaling Indah, Klang dekat sini.

Beliau berkata, polis menemui beberapa peranti elektronik dan bahan letupan di kediaman lelaki itu, dipercayai digunakan untuk membuat peranti letupan (IED) yang dipasang pada kereta mangsa.

Tambah Fadzil, suspek merupakan bekas pelajar jurusan elektronik di sebuah kolej swasta pada 2006, dan pernah berkerja sebagai jurujual di kedai barangan elektrik.

Beliau berkata, suspek turut mendakwa merupakan bekas kekasih mangsa dan mereka pernah berselisih faham berkaitan kewangan.

Bagaimanapun, Fadzil berkata, polis masih menyiasat mengenai motif kejadian.

Tambahnya, lelaki terbabit direman selama empat hari sehingga Khamis.

Pada Sabtu lalu, seorang jururawat berusia 27 tahun terkejut selepas menemui sejenis bom buatan sendiri yang dilekatkan pada keretanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kapar kira-kira pukul 10 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain