suria

Wabak Rabies: Taska Diminta Berjaga-Jaga

GAMBAR HIASAN

KUCHING: Taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sekitar kawasan terkesan penularan wabak anjing gila atau rabies telah diarahkan supaya berjaga-jaga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata langkah berkenaan perlu diambil bagi mengelak kanak-kanak diserang haiwan seperti anjing atau kucing yang terkena virus tersebut.

"Tidak ada penutupan (taska) tetapi perlu memainkan peranan untuk berjaga-jaga khususnya di kawasan terbabit.  Kita tidak tahu haiwan mana yang membawa virus tersebut jadi buat masa ini jauhkan diri daripada anjing dan kucing paling utama jangan mengacau seperti baling batu dan sebagainya untuk mengelak daripada diserang," katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa ketiga, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang masih dirawat dan dikategorikan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak di sini, Sabtu.

Pada 4 Jun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang merupakan adik-beradik, dari Kampung Paon, Sungai Rimu Bakung, Serian, meninggal dunia.

Ketika ditanya mengenai mangsa ketiga itu, Rohani berkata mangsa masih mendapatkan rawatan.

"Mangsa masih menerima rawatan. Berkenaan keluarganya kita akan berikan bantuan kaunseling namun ketika ini mereka (keluarga mangsa) memberi fokus kepada anak mereka, saya rasa berkenaan bantuan kaunseling akan ditentukan kemudian bukan dalam keadaan sekarang," katanya sambil menambah ibu kanak-kanak tersebut juga dalam tempoh berpantang ketika ini.

Rohani juga memaklumkan dalam lawatan tersebut beliau sempat bertemu seorang lagi kanak-kanak perempuan yang sedang mendapatkan rawatan saringan bagi menentukan sama ada dijangkiti rabies atau tidak.

Rabies

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain