suria

Baru Tiga Tahun, Sudah Mampu Baca Al-Quran

GAMBAR HIASAN

LUMUT: Pegawai Waren II, Ahmed Clement Sanga, 37, begitu bersyukur kerana walaupun baharu  tiga tahun memeluk Islam, beliau sudah mampu membaca dan mengenal isi al-Quran.

"Banyak cabaran yang dilalui sepanjang setahun saya belajar  sehingga saya menitiskan air mata selepas berjaya membaca al-Quran dengan agak lancar. Menitiskan air mata bukan kerana sedih, namun terlalu gembira kerana saya antara insan terpilih untuk dapat membaca al-Quran," kata pegawai  ini yang bertugas di KD Sultan Ismail, Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Johor.

Beliau merupakan peserta tilawah bagi kategori saudara baharu pada Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM di sini yang berakhir Jumaat malam.

Ia turut dihadiri Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Menurut Ahmed Clement, keindahan ayat suci al-Quran begitu menarik minatnya untuk lebih mendalami kalam Allah termasuk dengan bimbingan isteri tercinta yang juga anggota tentera Lt Nurazwa Amat Puad, 30.

Beliau bersyukur isterinya juga  dapat membaca al-Quran.

“Pada mulanya memang agak sukar kerana ia agak asing bagi saya namun dengan sokongan isteri dan Jabatan Agama Islam Johor selain bantuan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Alhamdulillah saya dapat menguasai bacaan dengan baik,” katanya menurut Bernama.

Mengenai tilawah itu, beliau berkata biarpun teruja menyertai pertandingan buat pertama kali, namun menganggap dirinya masih hijau dan sentiasa meningkatkan bacaan setiap hari sekurang-kurangnya sejam selepas solat Maghrib.

"Saya bersyukur isteri banyak membantu. Sebelum tidur, saya akan membaca beberapa surah sambil didengari oleh isteri untuk membetulkan bacaan saya.

"Biarpun teruja, namun saya berpegang kepada prinsip al-Quran bukan untuk dipertandingkan, namun menganggap acara ini sebagai medium untuk saya memantapkan ilmu serta menerapkan nilai kerohanian Islam dalam membentuk kekuatan diri," katanya yang akan mewakili TLDM pada tilawah peringkat Angkatan Tentera Malaysia.

Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya berkata setiap warga TLDM perlu menghayati al-Quran bagi melahirkan TLDM sebagai pasukan yang kuat dan efisien dalam menghadapi cabaran.

Ahmad Clement Sanga

Artikel Berikut

Artikel Lain