suria

Tidak Timbul Soal Pemilihan Semula CEC - DAP

KUALA LUMPUR: DAP menegaskan parti itu tidak akan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baharu sehingga mereka bertemu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

CEC dalam satu kenyataan berkata, 'soal pemilihan semula tidak berbangkit' selepas mesyuarat selama dua jam pada Sabtu.

"DAP akan mengadakan pertemuan dengan RoS sebaik sahaja kami menerima surat daripada RoS untuk mendapatkan penjelasan berhubung keputusan yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar mereka.

"DAP menegaskan bahawa pemilihan semula telah diadakan mengikut arahan RoS dalam surat mereka bertarikh 30 Julai 2013. Oleh itu, isu pemilihan baharu tidak timbul.

"Namun kami bersedia untuk bertemu RoS untuk membincangkan mengenai perkara itu dengan lebih lanjut," kata Guan Eng yang membaca kenyataan CEC pada sidang media di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah ROS Mohammad Razin Abdullah berkata pendaftaran DAP sebagai sebuah parti tidak akan dibatalkan tetapi mereka dikehendaki mengadakan pemilihan semula CEC.

Katanya, arahan itu dibuat ekoran pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah.

DAP berkata mereka terkejut dengan kenyataan RoS yang tidak mengiktiraf pemilihan semula itu empat tahun lalu.

"Mengeluarkan kenyataan begini selepas empat tahun bertujuan melumpuhkan pentadbiran parti dan menjejaskan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kami masih belum menerima surat rasmi daripada RoS yang memaklumkan mengenai keputusan itu kepada kami," katanya.

DAP, CEC, RoS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain