suria

Pil 'Facebook' Disiasat

Datuk Seri Dr S. Subramaniam

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan menyiasat insiden seorang wanita yang dikatakan mati otak selepas mengambil sejenis pil ecstacy yang dipanggil Facebook di Johor.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai insiden itu tetapi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan yang tidak diiktiraf oleh kementerian.

"Kami belum menerima laporan mengenai kejadian itu, tetapi kita akan melakukan siasatan dan dapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini.

"Perkara ini di luar bidang perubatan, ia di bawah bidang kuasa polis. Pengambilan sebarang bentuk pil atau dadah adalah atas risiko individu itu sendiri.

"Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya hanya mengambil ubat-ubatan yang mendapat kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK)," katanya pada sidang media pengenalan pemain baharu Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai seorang wanita mati otak selepas mengambil pil ecstacy di sebuah kelab malam, di Johor.

Subramaniam, yang juga penasihat MISC-MIFA, berkata pihaknya juga sentiasa menitikberatkan jenis ubat dikeluarkan, sama ada selamat dimakan, diuji dan diiktiraf oleh farmaseutikal. -Bernama

pil Facebook, Dr Subramaniam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain