suria

Jakim Tak Setuju Diskriminasi, Buli Terhadap LGBT

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak pernah bersetuju dengan sebarang unsur diskriminasi dan buli terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LBGT).

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha sikap melabel, mengutuk, menghina dan mengeji serta mengambil kesempatan ke atas komunti itu boleh dianggap ekstrem dan melampaui batas.

"Sikap seperti ini adalah bercanggah dengan semangat kemasyarakatan yang mengutamakan pendekatan nasihat dan menasihati serta berpesan untuk mengikuti kebenaran yang bersandarkan neraca agama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata Jakim juga bersikap objektif dengan tidak menaruh prejudis ataupun menghukum kepada komuniti tersebut.

Katanya, Jakim ingin mengajak sesiapa sahaja di kalangan komuniti yang mahu memperbaiki kehidupan masing-masing boleh menyertai mana-mana program yang disediakan dalam usaha menjalani kehidupan yang mengikut neraca syariat.

"Bagi Jakim, mana-mana perlakuan yang menyanggahi syariat, perlu diingatkan samada dalam bentuk tindakan perundangan atau pun dakwah yang berterusan kepada pelakunya," kata beliau.

Othman berkata perjuangan atas nama hak kebebasan dan hak persamaan dalam isu LGBT hanyalah 'kosmetik' yang nampak cantik pada luaran tetapi rosak pada dalaman.

"Ia tidak menyelesaikan masalah sebenar yang melibatkan penyimpangan tabii golongan LGBT.

"Perkara yang lebih utama adalah tuntutan kehidupan yang berteraskan syariat Islam dan ini selari dengan semangat perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

Susulan itu, beliau berkata Jakim sentiasa melakukan usaha yang berterusan dalam menyantuni komuniti tersebut di negara ini.

"Contohnya, program Mukhayyam yang dihadiri secara sukarela dengan tujuan untuk mendekatkan komuniti dengan masyarakat dan golongan agamawan bagi mengurangkan stigma terhadap komuniti," katanya.

Beliau berkata Jakim turut melaksanakan aktiviti usrah dan kelas pengajian al-Qur’an dalam usaha menambah ilmu pengetahuan di kalangan komuniti serta perkongsian pengalaman dengan rakan sebaya serta rasa empati sesama komuniti.

"Pada setiap kali Ramadan, iftar bersama komuniti juga diadakan sejak 2011, namun ia bukanlah ruang untuk memperjuangkan hak yang tidak selari dengan syariat, tetapi untuk kembali menepati kehendak agama," katanya.

Jakim, LGBT

Artikel Berikut

Artikel Lain