suria

Tiga Didakwa LHDN Dan Didenda RM17,500 Atau Penjara

KUALA LUMPUR: Tiga individu didenda keseluruhannya berjumlah RM17,500 atau penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 13 Jun 2017 selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang didakwa oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hee Min Tin, 41 tahun, pemilik Hee Mobile Centre dijatuhkan hukuman denda RM7,000 atau penjara sehingga tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan perniagaan beliau seperti mana yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu buku akaun, invois, baucer dan resit.

Kesalahan dilakukan adalah bagi tahun taksiran 2010, 2011 dan 2012.

Bagi pertuduhan pertama iaitu untuk tahun taksiran 2010, Min Tin dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau tiga minggu penjara.

Manakala bagi kesalahan kedua dan ketiga iaitu bagi tahun taksiran 2011 dan 2012, Min Tin dikehendaki membayar denda masing-masing RM2,500 dan RM3,000 atau penjara satu bulan dan dua bulan.

Dalam prosiding berasingan, Muhammed Shahrul Sabaruddin, 41, Pengurus Agensi Kumpulan CIMB Wealth Advisor turut mengaku bersalah dan didenda RM4,500 atau penjara sehingga satu bulan jika gagal membayar denda selepas menghadapi tiga pertuduhan di bawah perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan perniagaan beliau iaitu buku akaun, invois, baucer dan resit dalam tempoh tujuh tahun.

Kesalahan dilakukan adalah bagi tahun-tahun taksiran 2012, 2013 dan 2014.

Bagi pertuduhan pertama iaitu untuk tahun taksiran 2012, Muhammed Shahrul dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau tiga minggu penjara.

Manakala bagi kesalahan kedua dan ketiga iaitu bagi tahun taksiran 2013 dan 2014, Muhammed Shahrul dikehendaki membayar denda masing-masing RM1,500 dan RM2,000 atau penjara satu bulan bagi setiap kesalahan.

Sementara itu, Kalai Vani Ragoo, 36, pemilik kedai runcit CK Mart turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi iaitu lejar am, buku tunai, lejar jualan, lejar belian, lejar penghutang dan akaun pemiutang berkenaan perniagaan kedai runcit beliau bagi tahun taksiran 2012 dan kesalahan gagal mematuhi notis di bawah seksyen 81 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang diterima olehnya supaya memberikan maklumat berkaitan perniagaannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Majistret menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM1,000 atau penjara tiga minggu bagi kesalahan pertama dan RM5,000 atau penjara dua bulan bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Hasil Puan Nur Sakinah Ahmad, manakala hukuman dijatuhkan oleh Majistret Tuan Zuhair Rosli.


LHDN, cukai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain