suria

Kes Pelajar Tahfiz: Polis Klasifikasi Sebagai Kes Bunuh

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan semula kes kematian  pelajar tahfiz  yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kes adik Mohamad Thaqif Amin – PDRM ucapkan takziah kepada keluarga anak ini dan telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 302 (Kanun Kesiksaan) kerana bunuh,” kata beliau di laman Twitternya, Rabu.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Mohamad Thaqif Amin.

Berikutan itu, Khalid berkata polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan dan melengkapkan siasatan dengan segera.

"Kes adik Mohamad Thaqif Amin – PDRM akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera," kata Khalid.

Mohamad Thaqif Amin, 11,  meninggal dunia pada 2.05 petang tadi di Hospital Sultan Ismail, Johor  Bahru, tempat pelajar itu mendapatkan rawatan.

Pelajar tahfiz itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pagi Rabu, namun ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kedua belah kakinya sebelum ini telah dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak pada bahagian lain tubuhnya.-Bernama

Artikel Lain