suria

Kemalangan: Kanak-Kanak Cedera Parah Meninggal Dunia

SEREMBAN: Seorang lagi kanak-kanak perempuan yang cedera parah dalam kemalangan di KM 12, Jalan Pasir Besar menghala ke Rompin, Gemas, petang Selasa, meninggal dunia, menjadikan jumlah mangsa korban seramai tiga orang.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak berkata mangsa yang maut dikenali sebagai K. Vharshiena , 11 yang meninggal dunia pukul 8.45 malam, ketika dirawat di Hospital Kuala Pilah malam tadi.

“Dalam kemalangan petang semalam (Selasa), dua daripada empat beradik yang menaiki kereta dipandu ibunya maut di lokasi kejadian. Manakala Vharshiena ketika itu mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan lanjut, tetapi telah meninggal dunia ketika dirawat akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa yang maut ini bersama tiga lagi adik-beradiknya menaiki kereta jenis Honda City yang dipandu ibu mereka, telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja dari laluan bertentangan.

Kemalangan itu, telah meragut dua nyawa iaitu abangnya K. Dhaneshwar , 14, dan adik perempuannya K. Dhenissha , 9, di lokasi kejadian.

Manakala seorang lagi adik perempuannnya K. Nareshwar , 7, dan ibu mereka K. Thavamani, 36, cedera parah.Nareshwar kini dirawat di Hospital Kuala Pilah manakala Thavamani dirawat di Hospital Segamat, Johor.-Bernama

Artikel Lain