suria

11 Lelaki Diminta Tampil Bantu Siasatan Kes Bunuh Ahli Perniagaan

SIBU: Polis Sibu pada Sabtu meminta 11 lelaki tampil bagi membantu siasatan lanjut kes pembunuhan seorang ahli perniagaan di kawasan kaki lima di Jalan Wong King Huo pada awal pagi Khamis.

Mereka ialah Sylvester Kong Sien Yong yang berusia 23 tahun, Julians Ling Yew Fung, 26, Gary Tang Kiat Lee,22, Alyson Ling Poh Huat,26, Peter Ling Deng Sing,29, Anthony Ling Yew Fung, 22,  William Lee Kee Fok,25, Kevin Chung Biing Lung,23, Melvin@Chen Zen, 20-an, Kong Chin Lung, 21, dan Dylan Wong Kuok Keong, 24.

Ketua Polis Daerah, ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, mereka boleh menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sibu DSP Yeoh Chun Syhan dan pegawainya ASP Radzani Rasit.

Beliau berkata dalam kejadian itu, ahli perniagaan Clement Tan Teck Howe, 29, yang sedang minum bersama-sama rakan-rakannya di kedai kopi itu kira-kira 1 pagi telah disapa dalam keadaan marah oleh dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 22 tahun.

Akibatnya, berlaku pertengkaran yang mencetuskan pergaduhan sesama mereka, katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

“Mangsa  dipukul sehingga pengsan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut selepas kejadian itu. Tetapi, dia meninggal dunia kira-kira 5.22 pagi,” katanya. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain