suria

32 Individu Ditahan Dalam Ops Noda

JOHOR BAHRU: Kira-kira 32 individu termasuk seorang pengedar dadah ditahan dalam Ops Noda di dua pusat hiburan di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata operasi pada pukul 1.30 pagi itu dilakukan secara bersama antara Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Serbuan itu turut dikoordinasikan Jabatan Kastam Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kamarul Zaman berkata selain tangkapan, sebanyak 67 wanita warga asing terdiri daripada rakyat Vietnam, Taiwan dan China diselamatkan daripada manga pemerdagangan.

"Kesemua 32 individu yang ditahan itu termasuk juruwang, penjaga premis, pengedar dadah serta 26 pengunjung kedua-dua pusat hiburan yang didapati positif dadah."Kesemuanya berumur antara 20 dan 54 tahun," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Kamarul Zaman berkata sejumlah barangan termasuk sebilah pedang samurai, satu objek menyerupai pistol tulen, wang tunai lebih daripada RM21,000 dan dadah bernilai RM40,800 turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 12 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor. - BERNAMA

Ops Noda

Artikel Sebelum

Bonus Rakyat 1 Kedah Palsu

Artikel Lain