suria

Penulis Terkenal, Bekas Menteri Singapura Othman Wok Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Bekas menteri kanan Singapura yang juga bekas timbalan ketua pengarang Utusan Melayu, Othman Wok meninggal dunia pada Isnin. Allahyarham berusia 92 tahun.

Kematian beliau disahkan oleh Parti Tindakan Rakyat Singapura (PAP) dalam satu kenyataan rasmi kepada media.

Othman yang juga dikenali sebagai penulis cerpen dan novel seram Melayu terkenal Singapura berkhidmat sebagai menteri kebudayaan dan hal ehwal sosial antara 1963 hingga 1977.

Selepas beliau tidak lagi berkhidmat di dalam kabinet Othman telah dilantik sebagai duta ke Indonesia.

Beliau adalah segelintir pemimpin Melayu yang mendapat kepercayaan bekas perdana menteri, Lee Kuan Yew.

Sebelum menyertai kabinet Kuan Yew, Allahyarham Othman berkhidmat sebagai wartawan akhbar Utusan Melayu dan merupakan pengarang berita akhbar berkenaan ketika Utusan dilanda isu mogok serius pada tahun 1961.

Othman dilihat memainkan peranan penting menyelamatkan Utusan Melayu daripada lingkup apabila hampir kesemua wartawan akhbar itu membuat keputusan untuk bersama-sama Ketua Pengarang, Said Zahari melancarkan mogok ekoran protes pengambilalihan oleh Umno.

Othman yang ketika itu berkhidmat di pejabat Utusan Melayu di Singapura telah dipanggil oleh Pengarah Urusan Utusan, Ibrahim Fikri untuk membantu meneruskan penerbitan Utusan di Kuala Lumpur sepanjang tempoh mogok berlangsung.

Othman membawa bersama-samanya 16 kakitangan Utusan dari Singapura untuk membantu urusan penerbitan di Kuala Lumpur selama 93 hari  Dalam tempoh mogok itu, Utusan hanya tidak terbit selama satu hari sahaja.

Menurut catatan buku 'Hari Itu Sudah Berlalu' karya bekas Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Othman menyertai PAP menerusi bekas seorang lagi pengarang kanan Utusan iaitu A. Samad Ismail.

Catat Zainudidin lagi, Samad lah yang memperkenalkan Othman kepada Kuan Yew.

Apabila PAP ditubuhkan pada 21 November 1954, Samad adalah salah seorang pengasasnya bersama Kuan Yew tetapi meninggalkan parti itu pada tahun 1958 apabila beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyertai akhbar Berita Harian.

Hubungan Samad dengan Kuan Yew tidak pernah pulih selepas itu ekoran sikap kekirian Samad di dalam poltiik tetapi Othman kekal setia bersama Kuan Yew dan terus berkhidmat bersama Utusan.

Selepas mogok selesai dan suasana di Utusan kembali tenang, Othman dilantik sebagai timbalan ketua pengarang Utusan dan berpindah secara tetap ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pada 1963, Othman meletak jawatan selepas berkhidmat selama lebih 20 tahun bersama Utusan untuk bertanding sebagai calon PAP di kawasan Parlimen Pasir Panjang dalam pilihan raya umum Singapura.

Beliau menang dengan majoriti 500 undi dan dalam pengumuman pembentukan kabinet baru Lee Kuan Yew melantiknya sebagai menteri penuh.

Selepas pencen, beliau aktif menghasilkan buku fiksyen seram yang menjadi sangat popular bukan sahaja di Singapura tetapi juga Malaysia.

Beliau turut menghasilkan memoir berjudul 'Never In My Wildest Dreams' yang menceritakan perjalanan hidupnya sebagai wartawan, penulis dan juga menteri dalam kabinet Lee Kuan Yew.


Othman Wok, Singapura

Artikel Lain