suria

Tular Mengenai Penamaan Caruman Ahli Palsu - KWSP

KUALA LUMPUR: Penularan isu penamaan bagi caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.

KWSP dalam kenyataan di sini pada Isnin memaklumkan isu pembahagian simpanan ahli yang meninggal dunia, melibatkan penama atau waris di bawah umur 18 tahun kepada Amanah Raya Berhad secara automatik adalah tidak benar.

Menurut kenyataan itu, apabila berlaku kematian ahli beragama Islam, penama hanyalah sebagai Wasi atau Pentadbir, yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli KWSP yang berstatus harta pusaka, mengikut Faraid.

"Mengikut undang-undang, penamaan tidak akan berkuatkuasa sekiranya pada ketika kematian ahli, penama masih belum mencapai umur 18 tahun kerana mereka tidak layak bertindak sebagai Wasi. Namun, ini tidak bermakna anak ahli di bawah umur 18 tahun yang didaftarkan sebagai penama, tidak akan mendapat haknya ke atas simpanan ahli," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut KWSP, pembayaran simpanan ahli yang meninggal dunia akan diproses seperti tiada penamaan, iaitu berdasarkan pembahagian mengikut Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir yang mana dikemukakan dahulu kepada kumpulan wang berkenaan.

Bagi ahli bukan beragama Islam, KWSP menjelaskan, penama adalah benefisiari atau penerima mutlak tidak kira umur.

Bagi sebarang pertayaan, orang-ramai boleh melayari laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000. - BERNAMA

KWSP, penamaan, caruman

Artikel Lain