suria

Peter Chong Dakwa Diculik Di Hatyai

Chong (kanan) sebaik tiba di KLIA pada Ahad.

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Peter Chong yang selamat tiba di tanah air dari Thailand mendakwa diculik di Hatyai.

Bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa itu turut memberitahu polis bahawa dia telah pergi ke Thailand untuk bertemu seseorang berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh tetapi diculik semasa berada di sana.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata Chong mendakwa dia pergi ke Hatyai, Thailand untuk bertemu seorang sumber bagi mendapatkan maklumat berkaitan kehilangan Koh.

Dia memberitahu polis sebaik tiba di Hatyai, dia diculik dan dibawa ke Pattaya sebelum dibebaskan.

Chong turut mendakwa dia telah menghubungi anak lelakinya yang mengaturkan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi twitternya @kbab51 pada Ahad memuat naik dua gambar aktivis sosial itu berbaju kemeja-T biru dan seluar pendek, dipercayai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Syabas @PDRMsia Kuala Lumpur. Peter Chong yang 'hilang' pulang dari Pattaya, tengah hari ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata polis mengambil keterangan Chong sebaik dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami kemudian menyerahkan beliau kepada keluarganya kira-kira pukul 2.15 petang hari ini. Tiada sebarang unsur jenayah tetapi kami masih menyiasat kes itu," katanya.

Peter Chong, Hatyai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain