suria

Taja Bola Sepak: Mara Akan Panggil Annuar Musa Beri Keterangan

KUANTAN: Tan Sri Annuar Musa dijangka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Pengerusi Sementara Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Yusof Yacob berkata siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Audit Dalaman Mara berhubung isu itu kini dalam peringkat akhir dan Annuar akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

"Jawatankuasa ambil sedikit masa kerana perlu buat analisis dengan teliti. Terpulang kepada mereka (bila untuk memanggil Annuar)...tetapi dijangka tidak lama lagi, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Usahawan Mara negeri di sini Sabtu malam.

Katanya anggota jawatankuasa audit berkenaan perlu diberikan kebebasan dan masa secukupnya untuk menjalankan siasatan berhubung isu itu untuk memastikan ia dapat dijalankan dengan adil dan saksama.

Pada 31 Januari lepas, Mara menggantung tugas anggota Parlimen Ketereh itu sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Annuar sebelum ini bagaimanapun menafikan terbabit dalam sebarang salah guna kuasa berhubung keputusan PMB dan UniKL menaja pasukan TRW.

Selain itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan telah memanggil sembilan individu termasuk Annuar sendiri bagi memberi keterangan berhubung isu itu pada awal Februari lalu.-- Bernama

Annuar Musa, Mara

Artikel Lain