suria

Karikatur Monyet: KDN Terima Permohonan Maaf Nanyang

Nur Jazlan Mohamed.

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima permohonan maaf dan penjelasan Nanyang Siang Pau berhubung kontroversi karikatur monyet, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, tiada tindakan diambil terhadap akhbar harian berbahasa Cina itu, dengan menegaskan bahawa kesilapan sama tidak seharusnya berulang kerana karikatur tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli PAS dan rakyat.

"Kementerian Dalam Negeri amat serius mengambil insiden seumpama ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

"Kita tidak mahu menyinggung perasaan orang dan kemudian hanya memohon maaf," lapor Nanyang memetik Nur Jazlan sebagai berkata di Gelang Patah, Johor pada Sabtu.

Isnin lalu, Nanyang memohon maaf di atas karikatur yang disiarkan dengan menggambarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Karikatur yang turut disiarkan di portalnya, eNanyang ditarik balik.

Kartun yang bertajuk "Akta Monyet" itu memaparkan dua monyet yang duduk di sebatang pokok '355', manakala terdapat sekumpulan monyet berkelahi di bawahnya.

Seekor monyet di pokok itu memakai songkok dilabelkan sebagai 'Speaker' manakala seekor lagi memakai serban dilabelkan sebagai 'Abdul Hadi'.

Ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada Khamis lalu.

Artikel Lain