suria

Mengaji Al-Quran Dalam Jet: Sasar Pelanggan Jutawan & VIP

Sharifah Khasif di dalam jet peribadi Falcon 2000. - Ihsan Facebook Elite Jets

PETALING JAYA: Syarikat yang menganjurkan kelas mengaji al-Quran di dalam jet peribadi, Elite Jets Sdn Bhd menjelaskan caj penerbangan  mencecah puluhan ribu ringgit sejam yang dikenakan sememangnya kadar harga standard bagi menyewa pesawat mewah itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Hani Salman Ahmad berkata, program tersebut sebenarnya dibuat khusus untuk golongan berkemampuan termasuk jutawan dan kenamaan bagi mendekatkan diri dengan al-Quran.

"Jet peribadi memang mahal, kos operasi sejam pun dah mencecah AS$5,000 (RM22,235) untuk minyak, permit, insurans dan penyelenggaraan.

"Sama saja dengan pakej umrah bersama selebriti  yang ada sekarang,  contohnya umrah bersama ustaz tersohor sebanyak RM10,000, sebenarnya bukan harga ustaz itu RM10,000 tetapi harga pakej umrah yang  RM10,000," katanya menerusi kenyataan di halaman Facebook syarikat itu.

Beliau berkata demikian berhubung kelas mengaji di dalam jet peribadi bersama johan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, dengan mengenakan caj penerbangan lebih kurang AS$7,500 (RM33,400) seorang untuk tempoh sejam.

Hani Salman berkata, bayaran yang dikenakan itu semestinya memberi keuntungan untuk syarikat.

Bagaimanapun katanya, sebahagian keuntungan itu akan disalurkan kepada madrasah al-Quran yang bakal ditubuhkan Sharifah Khasif di Perak dan sekolah tahfiz  daif yang memerlukan bantuan dan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Kapten Hani Salman Ahmad - Ihsan Facebook Elite Jets

Sementara itu, Pengarah Elite Jets, Nik Eleena Zurenee Nik Mustapha pula berkata, beliau kesal dengan salah faham segelintir pihak yang menganggap caj perkhidmatan itu dikenakan terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Nik Eleena menjelaskan, caj yang dikenakan bukan bayaran sebagai upah Sharifah Khasif mengajar al-Quran.

"Tuduhan menggunakan agama adalah tidak berasas kerana ustazah (Sharifah Khasif) tidak mengenakan bayaran, (sebaliknya) kami yang akan memberi saguhati, sama konsepnya seperti yang diperoleh penceramah di mana-mana majlis," katanya sambil menambah 'harga standard' menyewa jet peribadi itu termasuk kos pengangkutan, pengendalian dan katering.

Walaupun tanpa program kelas mengaji, beliau berkata, ia merupakan harga  yang sama ditawarkan kepada pelanggan tetap Elite Jets selama lapan tahun syarikat tersebut beroperasi.

"Bisnes kami adalah 'niche market' iaitu untuk mereka yang berkemampuan dan golongan kenamaan.

"Jadi, apa salahnya mereka menggunakan duit mereka untuk belajar al-Quran sambil bercuti bersama keluarga," ujar Nik Eleena.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan Elite Jets dengan kerjasama Sharifah Khasif Production Sdn Bhd menganjurkan kelas mengaji al-Quran di dalam jet peribadi, di mana salah satunya adalah jet peribadi mewah Falcon 2000 bernilai AS$21 juta (RM93.4 juta).

Pelbagai pakej ditawarkan berdasarkan permintaan pelanggan, tempoh penerbangan dan jenis pesawat untuk ke mana-mana destinasi ketika mengikuti kelas mengaji itu sama ada di dalam atau luar negara.

Pakej promosi 100 jam penerbangan turut diperkenalkan yang membolehkan pelanggan mengikuti kelas mengaji pada bila-bila masa dalam tempoh setahun ke mana-mana destinasi menggunakan masa penerbangan itu.

Selain itu, terdapat juga tawaran pada kadar lebih rendah untuk masyarakat merasai pengalaman kelas mengaji di dalam jet peribadi tanpa diterbangkan ke mana-mana dengan kadar RM2,000 sejam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain