suria

Lesen PSV Terbang: MMA Digesa Ambil Tindakan Tegas

Sebahagian daripada sepuluh individu termasuk tujuh doktor, seorang kerani dan dua 'runner' diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Majistret pada Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) digesa mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam anggotanya yang terlibat menyalahguna profesion mereka dengan memalsukan laporan kesihatan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada MMA jika siasatan mendapati wujud sebilangan doktor yang terlibat dalam pemberian lesen terbang bagi Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

"Kalau kita dapati mereka bersalah, kita akan buat laporan kepada MMA.

"Kita tak boleh ambil tindakan (senarai hitam) sebaliknya kita hanya bagi laporan dan terpulang kepada MMA," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penghargaan kepada agensi-agensi penguatkuasa dan media sempena Ops Tahun Baru Cina 2017 pada Khamis.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan tujuh doktor kerana disyaki menyalahguna profesion mereka dengan meluluskan permohonan pemeriksaan perubatan untuk memperbaharui lesen PSV tanpa melakukan pemeriksaan terhadap pemohon.

Turut ditahan ialah tiga individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan itu, iaitu seorang wanita berusia 41 tahun, pembantu sebuah klinik dan dua lelaki yang bertugas sebagai 'runner'.

Tegas Nadzri, sindiket pemalsuan laporan perubatan membabitkan permohonan lesen PSV perlu dipandang serius kerana ia bakal mengundang bahaya kepada pengguna pengangkutan awam.

"Jangan berkompromi kepada mereka yang melanggar etika dengan memalsukan kesahihan laporan perubatan kerana kita khuatir pemberian maklumat yang salah akan membawa risiko kepada pengguna.

"Saya nak ingatkan kepada pengamal perubatan supaya mematuhi etika yang ditetapkan kerana kami tidak pernah meragui laporan mereka. Kami faham sebagai doktor mereka perlu hormati profesian perubatan," katanya.

Ditanya sama ada sindiket pemberian lesen terbang PSV tanpa melalui pemeriksaan kesihatan turut didalangi pegawai JPJ, Nadzri bagaimanapun menolak perkara berkenaan.

"Setakat ini pegawai JPJ tiada kaitan dengan aktiviti tersebut kerana borang yang ada pada mereka boleh dimuat turun daripada sistem.

"Tidak ada kena mengena dengan kita kerana laporan berkaitan kesihatan ini disediakan oleh pengamal perubatan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain