suria

Empat Suspek Kes Samun Diberkas

IPOH: Polis Ipoh berjaya memberkas empat suspek kes samun pada hari yang sama selepas mereka menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bercham pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata empat lelaki berumur 16 hingga 26 tahun itu ditahan pada kira-kira 4.30 petang pada 12 Februari dalam serbuan berasingan di bandaraya ini, susulan mereka menyamun kedai itu pada 2 pagi.

Katanya siasatan awal mendapatkan mereka baru menubuhkan kumpulan dan  melakukan jenayah itu bagi membolehkan mereka menyertai satu kumpulan kongsi gelap dikenali 'Geng Kok Wai'.

Semasa melakukan jenayah itu, dua daripada lelaki terbabit bersenjatakan parang dan mereka menyamun rokok bernilai RM446 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, Khamis.

Katanya polis merampas pelbagai barangan daripada mereka antaranya telefon bimbit, lapan kotak rokok, tujuh bilah parang serta sebuah kereta Proton Iswara, dan menurutnya keempat-empat suspek direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan.

Dalam kes berasingan, Sum berkata polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah kereta di sekitar bandar raya ini dengan penahanan dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun di Jalan Laksamana, Pekan Baru di sini pada kira-kira 3 pagi juga pada Ahad lepas.

"Anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu ternampak seorang lelaki sedang memegang lampu suluh dan mendekati sebuah kereta manakala seorang lagi menunggu di dalam sebuah kereta Perodua Viva.

"Sedar akan kehadiran polis mereka cuba melarikan diri, namun kereta mereka berjaya dipintas oleh kereta polis," katanya sambil menambah polis turut merampas serangkai anak kunci dan pemutar skru.

Menurut Sum, lelaki berusia 25 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan dadah.

Katanya tempoh reman kedua-dua mereka berakhir pada Khamis dan polis akan memohon untuk melanjutkan reman mereka. - BERNAMA

samun, Ipoh

Artikel Lain