suria

Segera Bina Jalan Alternatif Atasi Kesesakan Di Cameron Highlands - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

CAMERON HIGHLANDS: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu jalan alternatif menghubungkan Habu dengan Tringkap di sini, dibina secepat mungkin.

Menurut baginda, pembinaan jalan alternatif sepanjang 20 kilometer itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di sekitar Tanah Rata dan Brinchang.

"Minta jasa baik Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) mempercepatkan projek ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam sidang media selepas melawat Kampung Desa Kayangan dan ramah mesra bersama penduduk di Brinchang di sini Khamis.

Namun Tengku Abdullah berharap pembinaan laluan alternatif itu dibuat tanpa perlu menarah bukit di situ.

Selain itu, baginda mahu kerajaan negeri berusaha mencari peruntukan untuk membina lebih banyak loji air selain menukar paip air lama seiring dengan pembangunan semasa.

"Harap kerajaan negeri dapat mengambil kira permintaan penduduk khususnya yang berkaitan dengan masalah kekurangan bekalan air," titah baginda.

Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah projek penempatan semula peniaga di Kea Farm yang terlibat dalam kebakaran bulan lalu dijangka siap dalam masa enam hingga lapan bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Dalam kebakaran 20 Jan lalu, sebanyak sembilan kedai termasuk yang menjual buah-buahan serta restoran musnah terbakar.

Mengenai permintaan penduduk Kampung Desa Kayangan mendapatkan lot rumah, Tengku Abdullah bertitah perkara itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Empat Suspek Kes Samun Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain