suria

Dego Ride Boleh Beroperasi Jika Dapat Kebenaran SPAD - KP JPJ

Nadzri Siron.

PETALING JAYA: Perkhidmatan Dego Ride atau teksi bermotosikal yang menimbulkan kontroversi kerana tidak mempunyai permit sah boleh terus beroperasi sekiranya mendapat kebenaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pada masa sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron ketika dihubungi mStar Online menjelaskan, sehingga mendapat 'lampu hijau' daripada SPAD, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan itu kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka.

Kata Nadzri, pihaknya memberi peluang kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut bagi menyelesaikan urusan permohonan untuk beroperasi secara sah.

"Buat masa ini, kita tak boleh ambil tindakan secara melulu, langkah pertama kita lakukan adalah beri peringatan kepada penunggang terlebih dahulu.

"Kami juga sedia maklum, syarikat yang tawarkan perkhidmatan ini nak mohon kebenaran untuk beroperasi daripada SPAD.

"Jadi kita beri peluang kepada mereka untuk buat permohonan secara rasmi. Buat masa ini, keputusan terpulang kepada SPAD," katanya.

Nadzri berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan terhadap penunggang terbabit jika SPAD maklumkan perkhidmatan ini dilarang untuk beroperasi.

"Jika SPAD tak bagi kebenaran dan kita dapati penunggang ini terus berdegil maka baharulah kita akan ambil tindakan dengan mengeluarkan saman atas kesalahan menyalahgunakan kenderaan persendirian," katanya.

Mengenai nasihatnya kepada masyarakat supaya tidak menggunakan khidmat itu, kata Nadzri, ia seharusnya ditangguhkan sementara sehingga Dego Ride memperoleh kebenaran beroperasi secara sah daripada SPAD.

"Saya minta orang ramai jangan gunakan perkhidmatan ini buat sementara waktu. Ia ibarat penumpang membahayakan nyawa sendiri dengan menaiki perkhidmatan tanpa lesen," katanya.

Penunggang Dego Ride sedang mengambil penumpang.

Pada pagi Sabtu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Satu Komuniti Satu JPJ Daerah Gombak, mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai perkara ini.

"Saya tak boleh nak komen kerana bimbang apa yang saya katakan tidak senada dengan Ketua Pengarah," katanya.

Pada Sabtu, mStar Online melaporkan Dego Ride akan terus menawarkan perkhidmatan teksi motosikal di sekitar Lembah Klang walaupun Kementerian Pengangkutan mengeluarkan arahan supaya JPJ mengambil tindakan ke atas mereka.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka daripada menawarkan perkhidmatan tersebut.

Pada 24 Januari lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam satu sidang akhbar menyifatkan teksi motosikal sebagai satu perkhidmatan tanpa lesen dan mengarahkan JPJ mengambil tindakan.

Namun, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, satu kajian perlu dilakukan bagi membolehkan motosikal disenaraikan sebagai pengangkutan awam untuk tujuan komersial bagi membawa penumpang.

Malah, Nabil telah mengadakan perbincangan dengan SPAD berhubung isu perkhidmatan teksi motosikal itu.

Perkhidmatan Dego Ride yang bermula November tahun lalu boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3 kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.

Dego Ride, JPJ, Nadzri Siron, SPAD

Artikel Lain