suria

Stesen Minyak Di Kelantan Bersubahat Dengan Penyeludup

Gambar Hiasan

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengesan segelintir kakitangan di stesen minyak di negeri ini bersubahat dengan penyeludup petrol ke negara jiran.

Pengarahnya, Datuk Abd Ghani Harun berkata aktiviti itu dikesan dalam satu operasi di Tumpat pada Khamis lepas (26 Jan) selepas dua lelaki masing-masing berusia 30an berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati kegiatan mereka didalangi kakitangan sebuah stesen minyak. 

"Kakitangan di stesen minyak itu disyaki bersubahat kerana membenarkan dua suspek mengisi petrol antara 800 hingga 1,000 liter ke dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang telah diubahsuai dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu," katanya. 

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Ahad, Abd Ghani berkata siasatan turut mendapati petrol dijual di negara jiran mengikut timbangan kilogram. 

Beliau berkata siasatan juga mendapati kumpulan penyeludup minyak ini bergerak dari stesen ke stesen bagi memperolehi bekalan sebelum diseludup ke sempadan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan. -- Bernama 



Kelantan, KPDNKK, minyak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain