suria

Angkara Dadah, Tukang Cuci Kereta Dipukul Hingga Mati

TELUK INTAN: Gara-gara urusan pembelian dadah, seorang penagih yang bekerja sebagai tukang cuci kereta mati dibunuh di sebuah pelantar ikan di Hutan Melintang, dekat sini pada Isnin.

Mayat V. Arulrach, 21, dari Simpang Empat Hutan Melintang kemudian ditinggalkan di sebuah klinik kesihatan berhampiran oleh empat lelaki dipercayai rakannya pada 3.10 petang. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata pihaknya menerima laporan daripada klinik kesihatan itu bahawa pihaknya menemukan satu mayat tanpa pengenalan diri setelah dihantar empat lelaki. 

"Hasil daripada siasatan awal dan keterangan saksi, polis dapat menangkap lima lelaki termasuk seorang warganegara Myanmar berusia 15 hingga 44 tahun untuk membantu siasatan.

"Walaupun ada kesan lebam dan calar di bahagian kepala mangsa dipercayai akibat dijerut namun, bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan 'excited delirium' atau terangsang disebabkan pengaruh dadah," katanya pada sidang media di sini, Rabu. 

Menurutnya semakan mendapati dua daripada lima suspek mempunyai kesalahan lampau bersabit rekod dadah dan semuanya kini direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Wan Hassan berkata polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pesara tentera berumur 57 tahun di Taman Melor di sini pada malam Sabtu lepas. 

Mangsa yang berasal dari Kampar didapati lebam di bahagian muka dan seluruh badan dan telah dibawa ke Hospital Teluk Intan oleh anaknya sebelum meninggal dunia di hospital itu.

"Semua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 32 tahun dan polis turut menemukan sebatang kabel PVC dipercayai diguna untuk memukul mangsa. 

"Semua suspek itu bebas dadah dan tiada rekod jenayah," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain