suria

Polis Malaysia-Thai Kongsi Maklumat Ketua Samseng Ditahan Di Hatyai

Seorang penjenayah warga Malaysia melakonkan semula aksi rompakan selepas ditahan oleh Polis Songkla dua hari lepas kerana terlibat merompak sebuah kedai emas di Hatyai pada 6 Januari lepas, selain dipercayai terbabit dalam pelbagai kes jenayah lampau di Malaysia dan Thailand.

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia dan Thailand akan berkongsi maklumat berkaitan ketua kumpulan samseng rakyat negara ini yang ditahan berkaitan kes rompakan kedai emas di Hatyai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan warga Malaysia itu dan memaklumkan, polis Malaysia akan bekerjasama rapat dengan rakan sekerja di negara jiran itu.

"Kami akan berkongi maklumat yang diperlukan.

"Selepas pihak berkuasa Thailand selesai menjalankan siasatan, kita akan ambil alih," katanya kepada pemberita di Bukit Aman pada Rabu.

Bernama melaporkan, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan polis Thailand dua hari lalu di rumah sewanya di Hatyai.

Laporan itu memetik Ketua Bahagian Siasatan Polis Wilayah Songkla, Kolonel Sakda Jarengku berkata, lelaki itu disyaki melakukan rompakan bersenjata pada 6 Januari lalu.

Suspek dilaporkan melarikan 1.7 kilogram barang kemas bernilai 2.3 juta Baht (RM290,000).

Lelaki itu ditahan di rumah sewanya bersama pistol, 50 peluru, pakaian dan motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian rompakan itu.

Sakda dipetik berkata, lelaki itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes rompakan dan bunuh di Malaysia dan Thailand.

Suspek juga disyaki terlibat dalam rompakan kedai emas di Butterworth melibatkan barang kemas mencecah RM6.4 juta.

Siasatan juga mendapati, suspek meninggalkan negara ini dan bersembunyi di Chiang Mai kira-kira 10 tahun lalu.

Lelaki itu juga menggunakan dokumen pengenalan diri palsu yang dibelinya pada harga 250,000 Baht (RM32,000).

Hatyai, Khalid Abu Bakar

Artikel Lain