suria

Azmin Tegur Sikap 'Kuku Besi' Pemimpin Pembangkang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegur sesetengah pemimpin pembangkang yang mengamalkan sikap 'kuku besi' hingga boleh menggagalkan proses kerjasama politik pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, semua pihak perlu berhenti membuat gesaan atau paksaan terhadap parti lain supaya mengikut telunjuk masing-masing.

"Dalam proses perbincangan mestilah ada toleransi dan tolak ansur. Barack Obama selalu sebut bahawa democracy is a noisy process. Riuh kerana ada yang setuju dan tak setuju.

"Itulah demokrasi, tapi kalau kita paksa bahawa kamu mesti ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi tapi kuku besi," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menamatkan rundingan bersama PAS kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjasama dengan DAP.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Singapura, The Sunday Times yang disiarkan menerusi portal www.straitstimes.com, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau bersedia menutup sebarang pintu rundingan dengan PAS ekoran keengganan parti Islam tersebut bekerjasama dengan parti sekutu PPBM dalam pakatan pembangkang.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM yakin pakatan pembangkang tidak memerlukan PAS untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun tegas Azmin, beliau mahu semua pihak berlapang dada dalam mengadakan rundingan demi kepentingan rakyat.

"Kita kena teruskan perbincangan. Malam tadi saya bertemu dengan presiden dan pengerusi PPBM untuk melihat bagaimana kita boleh maju ke hadapan.

"Memang rumit, saya tak kata proses ini mudah. Dalam proses demokrasi mesti ada pihak yang setuju dan tak setuju.

"Sebab itu saya mengajak semua pihak berlapang dada meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu," katanya.

PKR, Obama, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Lain