suria

Bukan Ole-Ole Politik - Azmin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali menafikan dakwaan kononnya beliau mula mengagihkan habuan politik untuk rakyat Selangor bagi meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya menurut Menteri Besar Selangor itu, kerajaan negeri melakukan pelbagai program bantuan untuk kepentingan rakyat secara berterusan dan berperingkat termasuk yang terbaharu iaitu Skim Peduli Sihat.

"Saya tak boleh umum tarikh pilihan raya...macam mana nak kata ini ole-ole pilihan raya?," katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Peduli Sihat di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di sini, Selasa.

Skim yang memberi perlindungan kesihatan asas secara percuma itu akan dinikmati lebih sejuta rakyat Selangor dengan kos sebanyak RM125 juta.

Menurur Azmin, kad berkenaan boleh digunakan di lebih 1,000 klinik berdafatar termasuk klinik swasta di Selangor.

Ditanya mengapa skim itu diumumkan ketika semua pihak sedang bersedia menghadapi pilihan raya, Azmin bagaimanapun menjelaskan bahawa keadaan ekonomi Selangor yang semakin baik mendorong kepada pelaksanaannya.

"Kita ada keutamaan, ini bukan program peduli rakyat pertama yang kita lancarkan. Malahan sejak 2008, kita menjayakan program merakyatkan ekonomi Selangor.

"Selain itu kita juga ada program air percuma, perkhidmatan bas percuma dan pelbagai program kesihatan lain. Kita merasakan keadaan ekonomi negeri kukuh dan perlu diterjemahkan melalui dasar yang dapat memberikan manfaat langsung kepada rakyat," katanya.

Skim Peduli Sihat layak dinikmati anggota keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan dan individu yang berumur lebih 21 tahun dengan pendapatan RM1,500 ke bawah sebulan.

Melalui skim berkenaan, pemegang kad boleh memperoleh rawatan kesihatan asas dan pemeriksaan kesihatan berjadual.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain