suria

Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Pagi Ini

Penduduk Kampung Buloh, Permaisuri, Setiu terpaksa meredah air ekoran banjir yang melanda. -fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Hari ketiga banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan bertambah sekali pun enam pusat pemindahan di Besut ditutup pagi Ahad.

Setakat 8.30 pagi, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di empat daerah terjejas bencana adalah sebanyak 4,136 orang merangkumi 1,191 keluarga berbanding 3,835 orang daripada 1,097 keluarga malam tadi.

Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat kesemua mereka ditempatkan di 83 pusat pemindahan.

Besut yang paling teruk terjejas semalam, merekodkan pengurangan mangsa susulan penutupan enam pusat pemindahan dengan 1,434 orang (349 keluarga) masih berada di pusat pemindahan berbanding 1,693 (247 keluarga) malam tadi.

Jumlah mangsa di Kemaman juga berkurangan kepada 144 orang daripada 43 keluarga berbanding 117 orang daripada 32 keluarga malam tadi yang kesemuanya ditempatkan di enam pusat pemindahan.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Setiu bertambah buruk dengan tujuh pusat pemindahan baharu dibuka menjadikan jumlah keseluruhan 30 pusat yang menempatkan 1,172 mangsa (307 keluarga) berbanding 940 orang daripada 251 keluarga malam tadi.

Keadaan banjir di Hulu Terengganu juga semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,386 orang (497 keluarga) berbanding 1,085 orang daripada 387 keluarga sebelum ini.

Sebanyak tiga pusat pemindahan baharu dibuka di daerah itu menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi pagi ini ialah 19 pusat.

Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya empat sungai di empat daerah yang melebihi paras bahaya berbanding tujuh sungai di lima daerah malam tadi.

Di Hulu Terengganu, sekalipun masih melepasi paras bahaya pada 20.00 meter, Sungai Telemong di Kuala Ping menunjukkan penurunan paras air iaitu 20.86 meter berbanding 21.34 meter malam tadi.

Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu juga merekodkan penurunan paras air iaitu 21.93 meter berbanding 22.23 meter malam tadi namun masih melepasi paras bahaya 21.50 meter.

Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman pula merekodkan bacaan 19.23 meter berbanding 19.71 meter sebelum (paras bahaya 18.50 meter).

Bagaimanapun, Sungai Dungun di Kuala Jengai merekodkan kenaikan paras air iaitu 23.50 meter berbanding 22.67 meter malam tadi (paras bahaya 21.00 meter).

banjir 2017, banjir Terengganu

Artikel Lain