suria

Dera: Pengurus Taska Ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan empat wanita termasuk pengurus taska yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes penderaan di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bangi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, wanita itu yang juga pengurus Taska berkenaan ditahan di pangsapuri di Bandar Baru Bangi pada kira-kira pukul 5 petang, Jumaat.

"Tiga wanita dipercayai pekerja taska ditahan di taska itu di Bandar Baru Bangi pada pukul 4.20 petang.

"Hasil siasatan lanjut, seorang lagi wanita berusia 46 tahun yang merupakan pengurus taska berkenaan, ditahan di sebuah pangsapuri di Bangi petang hari yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu mengulas tentang kanak-kanak yang dipercayai didera itu, beliau berkata, ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Setakat ini tiada kecederaan fizikal dikesan," katanya.

Beliau menambah, polis telah merakam keterangan beberapa individu lain berkaitan kes berkenaan.

"Kami menerima laporan kejadian itu pada Khamis dan serta merta membuka kertas siasatan kerana ia melibatkan kesalahan serius," katanya.

Othman berkata, pihaknya akan mengambil keterangan beberapa individu lain dalam masa terdekat.

Kejadian penderaan melibatkan kanak-kanak di Taska berkenaan menjadi viral apabila ia dimuatnaik di laman Facebook Abdul Rani Kulup pada Rabu.

Bangi, dera, Taska

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain