suria

Nelayan Hilang Selepas Terjatuh Dari Bot

- Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Tanjung Piai, Pontian dekat sini petang Rabu setelah bot yang dikemudinya dipercayai hilang kawalan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata kejadian  berlaku sewaktu Maslan Samedi,51, yang berseorangan dalam perjalanan untuk mengambil pekerja pulau buatan di jeti nelayan Pangkalan Perpat Pungur kira-kira 3.40 petang.

"Mangsa merupakan nelayan di pangkalan tersebut namun membuat kerja sampingan dengan menghantar pekerja-pekerja pulau buatan itu ke satu kawasan tambakan berhampiran Tanjung Piai," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Menurut beliau, mangsa hilang kawalan kerana dipercayai kurang sihat manakala cuaca dan ombak pula adalah berada dalam baik.
"Seorang saksi memberitahu bot mangsa turut berpusing-pusing sebelum dia jatuh ke dalam laut," katanya.

Beliau menambah kejadian kemudian dimaklumkan kepada APMM oleh pengurus pulau buatan untuk tindakan susulan.

"APMM telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan nelayan tempatan.

"Sehingga kini, ia masih diteruskan sehingga mangsa ditemui atau suatu masa yang akan diputuskan oleh pasukan penyelamat," katanya.
nelayan hilang, jatuh bot, APMM

Artikel Lain