suria

Had Umur Pemandu Bas Bukan Keutamaan - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cadangan meletakkan had umur tertentu bagi pemandu bas ekspres perlu dikaji secara terperinci sebelum langkah itu diperkenalkan.

Katanya, pada masa ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) memandang berat faktor kesihatan pemandu berbanding usia.

"Kita memandang kepada tahap kesihatan pemandu bas.

"Buat masa sekarang kesihatan diutamakan bagi setiap PSV yang dikeluarkan oleh JPJ. Pemandu perlu memenuhi tahap kesihatan yang ditentukan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kawasaki 2017 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Sungai Besi di sini, Jumaat.

Selain itu menurut Liow, pada masa ini hak penentuan had umur bagi pemandu bas ekspres terletak pada syarikat pengusaha bas.

"Kita tak ada had umur, terpulang kepada syarikat pengusaha bas untuk menentukannya.

"Kita tak meletakkan had umur buat masa ini," katanya.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata cadangan supaya had umur pemandu bas ekspres dikaji semula bagi mengelak berlaku kemalangan maut akan dibentangkan pada persidangan Makmal Bas yang akan ditubuhkan bulan depan.

Kata Nancy, cadangan itu adalah susulan dakwaan orang ramai bahawa terdapat syarikat bas yang menggajikan pemandu yang telah berusia.

Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Lain