Bayi Maut Tersedak Susu - Semasa | mStar

Bayi Maut Tersedak Susu

gambar hiasan

BALING: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di Kampung Bandar Hilir, Siong dekat sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shariffuddin Yusof berkata Nur Damia Nasri yang turut menghidap sakit jantung berlubang dan sindrom down meninggal semasa dalam perjalanan ke Hospital Daerah Baling.

"Mangsa dipercayai terjaga dari tidur dan batuk tanpa henti dan dibawa ke hospital oleh bapanya. Doktor mendapati mangsa kebiruan dan semasa memasukkan tiub oksigen, susu telah keluar melalui mulut mangsa," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal pada pukul 10.30 pagi dan jenazahnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat.

Nasri Nayan, 47, berkata pada pukul 8.30 pagi, anaknya diberi minum susu sebelum tidur dan sejam kemudian terjaga disebabkan batuk.

"Bila saya tengok anak saya, mukanya sudah bertukar menjadi kebiruan dan keadaannya seperti kejang ketika didukung emaknya," katanya.

Beliau berkata anaknya dibawa ke hospital dengan kereta jiran mereka.

"Dalam perjalanan ke hospital, anak saya sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Baling

Artikel Berikut

Lebih Artikel