suria

Penculikan Di Selatan Filipina: KPN Bincang Dengan Rakan Sejawat

Tan Sri Khalid Abu Bakar
PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Filipina mengenai isu penculikan membabitkan rakyat Malaysia di selatan Filipina.

Beliau berkata perbincangan itu akan berlangsung hari ini di luar Persidangan Aseanapol ke-36 di sini Selasa.

Khamis lepas, Khalid mengesahkan lima rakyat Malaysia yang hilang di perairan Dent Haven, Tambisan, Sabah menjadi mangsa penculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Khalid mengingatkan pengendali bot tunda di perairan pantai timur Sabah supaya sentiasa berhubung dengan pasukan keselamatan.

"Sebelum ini, kami telahpun memanggil dan menjelaskan tentang risiko-risiko keselamatan yang dihadapi oleh operator tug boats di Lahad Datu dan Semporna.
Kita juga telah mengaturkan cara mereka menghubungi pasukan keselamatan, malangnya mereka gagal berbuat demikian.

"Jadi saya meminta operators ini supaya mengikut nasihat pasukan keselamatan dan jangan ikut suka hati dan jangan ambil ringan perkara ini. Kalau nak pergi menyelam ke, membawa pelancong ke mana-mana pun tolong maklum polis," katanya.

Menyentuh mengenai keselamatan di perairan pantai timur Sabah, Khalid berkata ia masih dalam keadaan terkawal and pasukan keselamatan juga menjalankan risikan di sepanjang sempadan perairan kawasan itu.

"Kita meningkat tahap keselamatan di Sabah, terutama di pantai timur. Kita jadikan persidangan ini sebagai peluang untuk berbincang dengan rakan sejawatan saya dari Filipina, Indonesia dan Thailand mengenai keselamatan, pertukaran risikan dan maklumat antara ketiga-tiga negara," katanya.

Sebanyak 10 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kambodia menyertai Persidangan Aseanapol Ke-36 yang bermula hari ini hingga 29 Julai di sini.

Artikel Lain