suria

Tun Abdullah, Isteri Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Isteri Koh

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menemani bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada isterinya mendiang Puan Sri Chui Kah Peng di kediaman keluarga Koh di Cascadia, Pulau Tikus, petang Isnin. -fotoTHESTAR
GEORGE TOWN: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah pada Isnin memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Puan Sri Chui Kah Peng, isteri kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Chui, 65, meninggal dunia pada 1 pagi semalam di Pusat Perubatan Gleaneagles  di sini di sisi anggota keluarganya setelah 13 tahun bertarung dengan kanser.

Abdullah bersama isterinya tiba di kediaman keluarga Koh di Cascadia, Pulau Tikus pada 5.15 petang tadi.

Bekas perdana menteri itu mengenali Koh sewaktu beliau menjadi menteri pada 1982 dan Koh baru sahaja mula aktif dalam politik.

Walaupun kedua-dua mereka sudah bersara dalam arena politik, ikatan hubungan antara mereka masih kuat seperti dahulu.

"Kami bercakap mengenai banyak isu dan isteri kami juga mempunyai hubungan yang kuat antara satu sama lain walaupun kami masih dalam politik. Salam takziah buat beliau dan keluarganya," kata Abdullah.

Abdullah dan Jeanne kemudian meninggalkan kediaman itu kira-kira 7.10 malam untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Presiden Gerakan dan Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Kong diiringi oleh Naib Pengerusi Gerakan Oh Tong Keong turut memberikan penghormatan terakhir kepada Koh.

"Koh merupakan bekas pemimpin kami, seorang yang kami sangat hormati dan kami harap beliau akan tetap tabah. Doa kami sentiasa bersama beliau ketika saat-saat sukar ini," katanya.

Turut hadir pada penghormatan terakhir itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan wakil DAP termasuk exco-exco kerajaan negeri, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen.

Artikel Lain