suria

Dua Pemegang Kad UNHCR Dicekup Cuba Rompak Di Bangi

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Helah dua pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) warga Myanmar yang berpura-pura menjual buku agama sebelum merompak, gagal apabila ditahan polis Sabtu lepas.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari tersebut, kedua-dua wanita warga Myanmar berusia 28 dan 39 tahun itu ditahan secara berasingan di Bandar Baru Bangi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata pihaknya menerima aduan daripada dua wanita, masing-masing berusia 44 dan 55 tahun yang menjadi mangsa kejadian itu.

"Kedua-dua wanita itu menggunakan taktik sebagai penjual buku agama dan menyasarkan rumah berpagar dan pintu hadapan premis yang tidak berkunci," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Menurut Othman, mangsa wanita berusia 55 tahun itu mendakwa rumahnya dipecah masuk setelah menyedari pintu rumah serta pintu pagar rumahnya terbuka dan seorang wanita yang tidak dikenali berada dalam biliknya.

Othman berkata mangsa turut memaklumkan ketika kejadian biliknya berada  dalam keadaan berselerak dengan laci dan beg tangannya telah dibuka selain barangan kemas berada di atas tilam.

"Suami wanita berkenaan yang sedang tidur di ruang tamu tersedar dan bertindak menangkap suspek setelah mendengar jeritan isterinya.

"Mangsa mendakwa telah kehilangan wang tunai sebanyak RM1,500 yang diletakkan dalam beg tangan dan meminta suspek memulangkan wang yang telah disamunnya namun suspek enggan mengaku mengambil wang tersebut," katanya.

Beliau berkata seorang lagi warga Myanmar dipercayai rakan suspek turut ditahan di kawasan perumahan terbabit dan polis merampas sebuah beg sandang yang mengandungi sebuah telefon bimbit dan power bank milik mangsa samun sebelumnya.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua pemegang kad UNHCR itu mendapati satu daripada kad berkenaan telah tamat tempoh pada 16 Julai lepas," katanya.

Othman berkata kedua-dua warga Myanmar itu ditahan reman selama tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

cubaan rompak, kad UNHCR

Artikel Lain