suria

Suasa Airlines Perlu Dapat Permit Penuh Sebelum Beroperasi - DCA

Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman
KUALA LUMPUR: Suasa Airlines Sdn Bhd perlu mendapatkan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) penuh daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebelum mengendalikan sebarang operasi pengangkutan udara komersial.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, walaupun Suasa Airlines telah menerima ASP sementara pada 15 Disember 2015, namun setakat ini tiada ASP penuh dikeluarkan kepada syarikat berkenaan sehingga hari ini.

"Suasa juga telah memohon Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada DCA pada 18 Januari 2016. Selepas menjalankan audit dan pemeriksaan ke atas kemampuan teknikal Suasa, DCA telah mengeluarkan AOC pada 22 Julai, 2016.

"Suasa Airlines tidak boleh mengendalikan sebarang operasi pengangkutan udara komersial tanpa kelulusan AOC dan ASP," katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Azharuddin berkata jabatan itu juga tidak mengeluarkan sebarang AOC kepada Monspace Airlines atau Monspace Sky Airlines.

"Bagaimanapun, pesawat SUASA Airlines dilabel dengan 'Monspace SUASA Airlines' dan www.monskyways.com," katanya.

Beliau berkata DCA akan mengeluarkan arahan supaya Suasa Airlines menjelaskan perkara berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, syarikat penerbangan swasta itu, yang kini beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah melancarkan penerbangan sulung dari KLIA ke Langkawi pada Jumaat.

Artikel Lain