suria

Pemandu Treler Maut Dihempap Muatan Besi

JOHOR BAHARU: Seorang pemandu treler maut selepas tercampak keluar dari treler berkenaan dan kemudian dihempap muatan besi yang dibawa kenderaan tersebut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Batu Pahat Isnin.

Kejadian berlaku di Kilometer 103.7, Lebuhraya Plus, arah selatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian pada kira-kira 8 pagi itu menyebabkan Zainol Sabu, 44, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan badan.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika Zainol yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama kelindannya yang berumur 18 tahun dan berasal dari Kulim, Kedah sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Baharu," katanya ketika dihubungi.

Abdul Wahib berkata ketika kejadian Zainol dikatakan gagal mengawal lori jenis Hino terbabit lalu terbabas memasuki longkang pada sebelah kiri jalan.

Beliau berkata kemalangan menyebabkan Zainol tercampak keluar dari cermin hadapan sebelum kemudiannya dihempap muatan besi dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kelindan tersebut yang sedang tidur di bahagian belakang treler ketika itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat Zainol dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Artikel Lain