suria

Dua Murid Perempuan Maut, Sepupu Parah Dalam Kemaangan

KUANTAN: Dua murid perempuan maut, sepupu mereka cedera parah selepas motosikal dinaiki tiga sepupu itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Km50, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Chendor di sini Jumaat malam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata Syazuwanie Saharudin, 10, dari Kampung Darat Bujuk, Sungai Ular dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian manakala sepupunya Nur Aisya Humairah Mohd Khairi, 7, dari Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman.

"Penunggang motosikal itu yang juga sepupu mereka Nur Raudatul Jannah Roslee, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Kemaman mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital sama," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Katanya Syazuwanie merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Cherating, manakala Nur Aisya murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Geliga, Kemaman.

Menurutnya, kemalangan berlaku pada kira-kira 9 malam itu ketika motosikal yang dinaiki tiga sepupu itu keluar dari simpang Kampung Chendor untuk menyeberang ke sebuah stesen minyak di situ.

Mohd Noor berkata pada masa sama sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Kemaman menghala Kuantan tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal itu.

"Lokasi kemalangan agak gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan dan kesemua mangsa juga tidak memakai topi keledar selain penunggangnya bawah umur dan tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Sementara itu, di ALOR SETAR, seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Titi Gajah, Kepala Batas tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata pelajar itu Muhammad Syahir Hakimi Mat Zali, 17, maut di tempat kejadian dalam kemalangan  pada kira-kira 12 malam itu.

Katanya rakannya Muhammad Nazirul Izzat Ahmad Nozlan, 17, yang duduk di tempat duduk hadapan mengalami patah tangan kanan dan luka di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan," katanya dalam kenyataan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain