suria

Pemandu Uber Bertaraf Menteri

Firdaus selfie bersama Wahid yang memberi khidmat selaku pemandu Uber selama tiga hari.

PETALING JAYA: Tan Sri Wahid Omar menimba pengalaman sebagai pemandu Uber, aplikasi pemanduan yang kini semakin popular dalam negara ini dan juga seluruh dunia.

Gambar beliau dan penumpang Uber tersebar meluas menerusi laman sosial dan mendapat pujian ramai terutama kerana kesanggupan Wahid untuk mencabar dirinya menjadi pemandu perkhidmatan teksi itu.

Pengguna Facebook, Firdaus Fadzil pada Jumaat memuatnaik selfie beliau bersama Wahid yang membawa Proton Perdana baharu dengan kapsyen "Menaiki Uber dalam perjalanan ke pejabat bersama salah seorang ahli korporat dan ekonomi yang berjaya bersama Perdana baharunya. Lima bintang kepada YB Senator Dato Sri!"

Firdaus berkata, perjalanannya dari Putrajaya ke KL Sentral dikenakan bayaran sebanyak RM30.

Seorang lagi pemilik Facebook, Norizan Sharif berkata, Wahid memberitahunya dia mengambil lapan penumpang sepanjang hari itu.

"Saya cuba memahami dan merasai denyut nadi rakyat," kata Norizan yang berkesempatan berbuka puasa bersama Wahid.

Beliau berkata, Wahid menjadi pemandu Uber selama tiga hari sebelum ke Makkah menunaikan ibadah umrah.

Wahid yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Perancangan Ekonomi pada 2013. Tempoh Senator beliau tamat pada Jun.

Sebelum itu beliau adalah presiden dan CEO Maybank. Bagaimanapun cubaan untuk menghubungi Wahid gagal.

Wahid Omar, Uber

Artikel Lain