suria

2,140 Server Di Malaysia Terdedah Kepada Serangan Siber

PETALING JAYA: Malaysia dikenal pasti sebagai negara utama di Asia Tenggara yang mempunyai server paling dikompromi, menyebabkan rangkaian kerajaan terdedah kepada serangan siber.

Menurut Pengarah APAC Global Research and Analysis Team Kaspersky Lab, Vitaly Kamluk, pendedahan yang mengejutkan ini diperolehi hasil siasatan oleh Kaspersky Lab, yang menemui "xDedic", pasaran gelap untuk server yang digodam yang meletakkan 2,140 server di Malaysia menghadapi risiko digodam.

"Pasaran yang bertindak seperti eBay, ialah forum global yang memudahkan penjualan dan pembelian server Remote Desktop Protokol (RDP), yang boleh didapati dengan harga serendah AS$D6 (RM25).

"Ia amat berkuasa, tersusun dengan teratur, menawarkan akses yang murah dan mudah kepada infrastruktur organisasi yang sah," kata beliau semasa taklimat media di sini, Khamis.

Kamluk berkata, pda masa ini, Kamluk berkata terdapat 70,264 server dari 173 negara dijual, ditawarkan oleh 416 penjual unik di pasaran ini.

Beliau berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-10 di seluruh dunia dengan server paling dikompromi.

"Yang lebih membimbangkan ialah pemilik server, tidak menyedari bahawa infrastruktur teknologi maklumat (IT) mereka telah dikompromi.

"Ahli-ahli forum xDedic boleh mengakses semua data server dan menggunakannya untuk terus melakukan serangan berniat jahat, terdiri daripada serangan disasarkan,  malware, phishing, dan serangan adware," katanya.

Kepada satu soalan, Kamluk enggan menyenaraikan server-server di Malaysia yang telah digodam dan dijual di pasaran gelap xDedic.

Justeru, beliau berkata, Kaspersky Lab telah mengambil beberapa langkah dalam mengingatkan organisasi supaya berwaspada terhadap kemunculan ancaman baharu ini dalam jenayah siber.

"Kami telah menasihati mereka (organisasi), antara lain, untuk memasang  penyelesaian keselamatan, menguatkuasakan penggunaan kata laluan yang lebih ketat dan menjalankann audit keselamatan infrastruktut IT," katanya. - Bernama

Artikel Lain