suria

Jabatan Imigresen Sangkal Dakwaan Kekurangan Stok Pasport

Sakib Kusmi

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menyangkal dakwaan terdapat kekurangan stok pasport di dalam negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Sakib Kusmi berkata jabatan itu telah mengambil langkah segera dengan memantau segala proses pengeluaran pasport versi baharu dengan muka surat biodata polikarbonat dilengkapi cip sejak 9 Mei lepas. 

Setakat ini, beliau berkata terdapat 54 pejabat pengeluaran pasport seluruh Malaysia yang telah dihantar dengan sistem baharu untuk mengeluarkan pasport itu, kecuali Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah yang dijadualkan penghantaran sistem baharu itu pada minggu hadapan.  

"Bekalan pasport adalah mencukupi semenjak penghantaran sistem baharu,"katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pada Mei tahun ini, bekalan pasport baharu adalah 220,000 unit dan jabatan itu telah mengeluarkan 206,716 pasport kepada orang awam.

Mengenai laporan terdapat kekurangan stok yang kritikal di Pulau Pinang, Perak dan Johor, beliau berkata ia tidak benar kerana ketiga-tiga negeri itu masing-masing mengeluarkan 12,941, 16,357 dan 36,852 pasport baharu bulan lepas.

Sakib berkata jumlah pasport yang dikeluarkan jabatan itu mungkin berbeza dan menerima kesan daripada keadaan bermusim seperti cuti sekolah dan musim haji.

"Kami bersedia menyelesaikan sebarang masalah jika berlaku kelewatan semasa tempoh peralihan ini. Setakat ini kami tidak pernah menghentikan pengeluaran pasport Malaysia dan berjaya mengeluarkan pasport kepada setiap pemohon," katanya.

Sakib berkata versi baharu pasport Malaysia mengandungi 28 ciri keselamatan.

"Jabatan ini menekankan pemeriksaan kualiti yang ketat ke atas setiap pasport bagi memastikan kebolehpercayaannya. Malah perbezaan kecil warna atau sedikit calar akan ditolak untuk memastikan kualiti pasport Malaysia pada tahap yang terbaik. 

Jabatan ini tidak akan berkompromi dalam standard pengeluaran pasport kepada orang ramai. Sebagai contoh pada peringkat permulaan pengeluaran pasport baharu Malaysia, jabatan ini telah menolak 241 pasport kerana pelbagai isu kualiti," katanya.

Sakib berkata setakat ini, Jabatan Imigresen tidak menerima sebarang aduan bahawa pasport Malaysia gagal berfungsi di pintu masuk atau keluar sama ada tempatan atau antarabangsa.  -Bernama

Imigresen, stok pasport

Artikel Berikut

Artikel Lain