suria

Lima Pelajar Darul Quran Jakim Imam Tarawih, Berdakwah Di Australia

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Lima pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjadi imam solat terawih dan berdakwah di Australia sepanjang Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kesemua pelajar itu, yang berusia di antara 17 dan 20 tahun, akan dihantar menjalankan dakwah itu di Sydney, Melbourne dan Perth.

Mereka ialah Tengku Zahirul Kamal Tengku Kamarozaman dan Mohd Saifuddin Ramly yang akan dihantar ke Sydney, Taufik Redha Md Hamdani dan Muhammad Luqman Hakim Othman (Perth) serta Muhammad Mujahid Yusup (Melbourne), yang akan berada di sana mulai esok hingga 9 Julai ini.

"Selain menjadi imam solat Tarawih, mereka juga akan menyampaikan khutbah Jumaat dan Aidilfitri, mengetuai qiyamullail, tadarus al-Quran, memberi tazkirah, mengendalikan klinik Al-fatihah, kem Smart Solat untuk kanak-kanak dan dewasa serta program lain yang bersesuian dengan kehendak masyarakat setempat khususnya warga Malaysia di sana," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Ihya' Ramadan peringkat kebangsaan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, Jumaat. Teks ucapannya dibacakan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Jamil Khir berkata program penempatan pelajar itu dijalankan secara kerjasama Strategi Lautan Biru kebangsaan (NBOS) di antara Darul Quran Jakim dan Educational Malaysia Australia (EMA) serta disokong oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

"Program seperti ini dapat memperkenalkan Jakim dan Darul Quran di peringkat lebih global," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Asyraf Wajdi berkata penghantaran pelajar itu ke Australia diharap menjadi platform untuk mendedahkan diri mereka menjadi pembimbing dan pendakwah kepada pemaustatin di negara itu.

"Program ini harus dikembangkan kerana ia menjadi platform latihan pelajar Darul Quran dengan mendedahkan mereka di luar negara...pada masa akan datang, mereka akan dihantar ke negara lain juga," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak bekerjasama menjayakan rancangan untuk melengkapkan aktiviti dan program mengimarahkan Ramadan sebagai 'pesta beribadah' dan bukannya 'pesta juadah'.

Pusat beli-belah juga diminta tidak ghairah mempromosikan Aidilfitri sebaliknya mengimarahkan Ramadan terlebih dahulu, katanya.

Sementara itu, Maiwp memperuntukkan bantuan RM1.4 juta kepada masjid, surau dan surau Jumaat di sekitar Wilayah Persekutuan tahun ini sempena program bertema 'Ramadan Transformasi Kecemerlangan Ummah'.

Dana itu disalurkan kepada 85 masjid di Wilayah Persekutuan yang masing-masing akan menerima RM3,000 manakala 110 surau Jumaat dan 471 surau masing-masing menerima RM2,000.

Maiwp turut mengagihkan 42,000 kampit beras fidyah dan barangan makanan kepada asnaf sebagai persiapan menyambut Ramadan.-- Bernama

Artikel Lain