suria

Tahaluf Siyasi: PAS Mahu Terus Bersama PKR

KOTA BARU: PAS masih mahu meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR walaupun Dewan Muslimat parti itu meluluskan usul supaya hubungan itu dikaji semula.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, usul Dewan Muslimat itu bukan bertujuan untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi, sebaliknya ia lebih kepada mengkaji penambahbaikan kerjasama antara kedua pihak.

"Ada usul beberapa pihak, kawasan dan dewan supaya PAS Pusat merujuk isu mengenai hubungan tahaluf siyasi dengan PKR kepada Majlis Syura untuk buat kajian.

"Ia bukan ke arah memutuskan. Bagi kita, ia ke arah penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas berakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini, Jumaat.

Mengenai usul yang dibawa Dewan Muslimat, Takiyuddin berkata, pihaknya akan melihat apakah bentuk hubungan yang perlu diperbaiki.

"Kita ambil dari sudut positif," katanya. 

Pada Rabu lalu, Dewan Muslimat PAS menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Usul yang dikemukakan Dewan Muslimat PAS Kedah pada Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-56 itu diterima tanpa bahas dan akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pula berkata, usul itu lebih kepada pandangan Dewan Muslimat dan bukan keputusan PAS Pusat.

"Itu pandangan dari perwakilan Muslimat, kita akan tengok (usul). Kita beri kepada (Majlis) Syura untuk melihat pro dan kontranya.

"Banyak perkara yang mereka (Dewan Muslimat) masih tak tahu. Mungkin ada pihak yang tak puas hati, tapi ini hanya minor (kecil), bukan masalah besar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain