suria

Cuepacs Mahu Kerajaan Kaji Dasar Pengiraan Pendapatan Bagi Pinjaman Rumah

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengkaji semula dasar pengiraan pendapatan bagi pembiayaan pinjaman perumahan untuk memudahkan dan melayakkan penjawat awam membeli rumah.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata kajian semula itu termasuk mengambil kira elaun-elaun tetap sebagai sebahagian gaji dalam pengiraan pendapatan bagi pembiayaan perumahan sama ada melalui pinjaman kerajaan atau bank.

"Ini kerana, hari ini, hanya gaji pokok sahaja diambil kira dalam pengiraan pendapatan untuk membuat pinjaman rumah. (Ini akan menyebabkan) ramai penjawat awam tidak mampu untuk membeli rumah.

"Jika elaun tetap diambil kira, (ia akan membantu) penjawat awam terutama yang baru disahkan jawatan untuk membuat pinjaman rumah dan mungkin pinjaman sudah selesai di akhir perkhidmatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Sabah di sini, Khamis.

Azih berharap kerajaan akan melihat perkara itu kerana dikhuatiri ramai penjawat awam terutama di Sabah dan Sarawak tidak layak untuk membeli rumah memandangkan harga rumah yang semakin mahal di negeri terbabi.

"Isu rumah adalah isu paling dominan dalam negara kita. Tiada maknanya jika kita bekerja dan ada gaji tetapi kita tidak memiliki rumah sendiri," katanya.

Sementara itu, Azih juga mahu kerajaan menetapkan kadar elaun wilayah yang lebih bersesuaian selain mahu elaun wilayah itu lebih anjal seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

Mengenai bonus raya, Azih berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pemberian bonus sebulan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam untuk persiapan Aidilfitri nanti.

Katanya pertemuan untuk menyampaikan suara dan hasrat penjawat awam mengenai bonus Raya itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

"Kami berharap perdana menteri memberi pertimbangan sewajarnya," katanya.

Cuepacs yakin pemberian bonus sebulan gaji itu akan lebih memberi rangsangan kepada produktiviti kerja penjawat awam sekali gus membantu mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri pada tahun ini, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain