suria

Muktamar Pemuda PAS: Status Pemeriksa Kira-Kira Jamel Saring Dipertikai

KOTA BARU: Status Pemeriksa Kira-Kira Dua, Jamel Saring yang menandatangani Penyata Kewangan Pemuda PAS dipersoalkan kerana statusnya yang bukan lagi ahli parti itu selepas menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), Disember lalu.

Perkara itu diketengahkan semasa berlangsungnya Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 yang memasuki hari kedua di Kelantan Trade Centre di sini, Rabu.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Mesyuarat Khas Pemuda  pada pagi Rabu memutuskan untuk melantik Pemeriksa Kira-Kira Dua yang baharu.

"Kita dimaklumkan beliau (Jamel) sertai Amanah dan secara automatik beliau bukan lagi ahli PAS dan merujuk Fasal 79 (9) Mesyuarat Khas Pemuda PAS sebentar tadi bersetuju untuk melantik Pemeriksa Kira-Kira Dua yang baharu iaitu Muhammad Ali Rajaie Jamaludin dari kawasan Subang.

"Kuasa untuk melantik ini mengikut Fasal 79 (9) adalah kuasa Mesyuarat Pemuda PAS Pusat," katanya.

Pada malam Selasa, seorang perwakilan ketika sesi pembentangan laporan kewangan mempersoalkan status Laporan Pemeriksa Kira-Kira yang ditandatangani Jamel Saring sebagai Pemeriksa Kira-Kira Dua sedangkan beliau sudah menyertai Amanah.

Ia menyebabkan pembentangan laporan penyata tahunan itu terpaksa ditangguhkan.

Bendaharinya, Mukhtar Suhaili menegaskan jawatan itu diguna pakai berdasarkan pelantikan yang dibuat pada Muktamar Pas tahun lalu.

"Beliau sendiri datang ke pejabat Pemuda PAS (April 2016) untuk menandatangani penyata kira-kira ini dan membuat rujukan sedikit. 

"Melainkan muktamar kali ini tidak bersetuju, itu perkara lain tapi ini berdasarkan keputusan muktamar lalu," katanya pada Selasa malam.




Artikel Lain