suria

Malaysia Telah Buat Permohonan Ekstradisi Dua Penjenayah Abu Sayyaf

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah merayu kepada pihak berkuasa Filipina supaya dua penjenayah Abu Sayyaf yang ditahan diekstradisi ke Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa bagaimanapun berkata kerajaan Filipina tidak terikat dengan mana-mana perjanjian berhubung rayuan itu.

"Kedua-dua mereka yang dipercayai terlibat dalam penculikan dan pembunuhan rakyat Malaysia di Sabah telah ditangkap oleh Polis Kebangsaan Filipina (PNP).

"Sebaik sahaja menerima maklumat mengenainya, kerajaan Malaysia telah mengemukakan rayuan ekstradisi melalui saluran diplomatik untuk mengekstradisi kedua-dua penjenayah - Khadafi Muktadil dan Saddam Jailani," katanya.

Beliau menambah, rayuan itu dikemukakan selepas Mahkamah Majistret Semporna mengeluarkan waran tangkap pada Disember 2015.

Dr Ahmad Zahid berkata kini terpulang kepada kerajaan Filipina sama ada mereka akan mengekstradisi penjenayah yang dikehendaki itu.

"Sehingga kini, kerajaan Filipina tidak memberi sebarang maklum balas rasmi kepada rayuan ekstradisi itu tetapi kami akan terus memantau keadaan ini dengan bantuan Kementerian Luar," katanya.

Dr Ahmad Zahid berkata demikian kepada Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt yang bertanya mengapa Malaysia tidak mendakwa kedua-dua penjenayah yang dikehendaki yang ditahan oleh pihak berkuasa Filipina.

Artikel Lain